Berita Semasa

Ambil iktibar situasi COVID-19 landa negara empat tahun lalu – Dr. Noor Hisham

PUTRAJAYA – Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meminta semua pihak tidak melupakan dan mengambil iktibar daripada jangkitan wabak COVID-19 yang melanda negara empat tahun lalu dengan dengan memperkukuhkan sistem kesihatan.

Dr Noor Hisham, dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya hari ini berkata, ketakutan terbesar beliau adalah apabila orang ramai melupakan apa yang telah dipelajari sewaktu pandemik tersebut membelenggu negara.

“Hari ini 18 Mac empat tahun lalu, kita menghadapi hari pertama ‘lockdown’ dan penguatkuasaan Akta 342 yang belum pernah berlaku sebelum ini disebabkan oleh COVID_19,” katanya dalam hantaran tersebut, hari ini.

Mengimbau kembali situasi pada ketika itu, Dr Noor Hisham berkata, hanya ketahanan dan perpaduan menjadi satu-satunya benteng sistem kesihatan negara di saat negara bergelut dengan ketiadaan ubat dan vaksin serta ditambah dengan kapasiti ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) yang terhad.

“Sudah tiba masanya di bulan Ramadan yang mulia ini, kita merenung kembali dan memanfaatkan pengajaran dipelajari untuk lebih bersedia dan memperkukuh sistem kesihatan kita.

“Janganlah kita lupa perpaduan yang telah kita lalui, merangkumi pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh masyarakat.

“Jangan lupa semangat kekitaan dan pemerkasaan masyarakat.

“(Dan) Jangan kita lupakan nyawa yang melayang dan mobiliti akibat Covid-19 yang panjang,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button