Mayat anggota polis mangsa bot karam di Sibu ditemukan
SIBU – Mangsa terakhir insiden bot karam di Sungai Batang Baleh yang merupakan seorang anggota polis ditemukan selepas sembilan hari operasi pencarian.
Mayat Konstabel Iskandar Ibrahim, 28, ditemukan terapung oleh orang awam kira-kira jam 11.30 pagi di kawasan Teluk Seputin kira-kira tujuh kilometer di hilir dari lokasi kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dalam kenyataan mengesahkan penemuan mayat yang kini ditempatkan di Hospital Kapit untuk proses bedah siasat.
“Bedah siasat dijadual dijalankan pada pukul 8 pagi, 18 Mac ini di Hospital Kapit.
“Selepas urusan bedah siasat serta urusan lain selesai, jenazah arwah akan diterbangkan untuk urusan pengebumian di kampung halamannya di Kelantan,” katanya.
Semalam, isteri mangsa, Anis Nur Ezzati dalam catatan di Facebooknya menyatakan hasratnya untuk melihat jasad suaminya dalam apa juga keadaan dan meminta orang ramai mendoakannya ditemui.
Dalam insiden 7 Mac lalu, Iskandar bersama seorang lagi anggota polis, Sarjan Jonathan Lambet dan dua orang awam lemas selepas bot dinaiki mereka karam berdekatan Sekolah Kebangsaan Lepong Baleh.
Ketika kejadian, Iskandar dan Jonathan ditugaskan mengiringi bahan letupan seberat 35 kilogram.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan sejak 7 Mac lalu membabitkan 12 anggota termasuk Unit K9 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), 17 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Unit Dron, sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), tiga dari Pejabat Residen Kapit serta kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kapit.