Berita Semasa

Hentikan polemik sekolah vernakular – Menteri Perpaduan Negara

PUTRAJAYA – Semua pihak diminta menghentikan polemik sekolah vernakular supaya menjejaskan semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, isu sekolah vernakular tidak perlu ditimbulkan kerana kewujudannya telah disahkan sebagai berpelembagaan oleh Mahkamah Rayuan pada November tahun lalu.

“Sebarang usaha memansuhkan kewujudannya adalah tidak wajar, malah ia adalah bertentangan dengan keputusan mahkamah yang menjunjung tinggi prinsip Rukun Negara iaitu Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang.

“Saya juga menyokong penuh pendirian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang telah menyatakan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan terus mempertahankan sistem pendidikan vernakular kerana ia selaras dengan Seksyen 28 (penubuhan Sekolah Kebangsaan dan Jenis Kebangsaan), Akta Pendidikan 1996,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau menegaskan bahawa sekolah jenis itu tidak menjadi faktor yang menjurus ke arah perpecahan, sebaliknya ia menjadi tarikan ke arah perpaduan.

Data enrolmen pelajar bukan Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan pelajar bukan India di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) menunjukkan peningkatan berterusan sejak tahun 2018 sehingga 2023.

“ni menunjukkan perpaduan rakyat mampu dibina di mana sahaja jika ada kesungguhan oleh semua pihak,” katanya.

Aaron berkata, kementeriannya telah melaksanakan Wacana Defisit Sosial dengan menampilkan pakar-pakar bidang pada tahun lepas dan dapatan menunjukkan kewujudan sekolah vernakular tidak boleh lagi dianggap sebagai pembuka ruang pemisah antara etnik.

Sebaliknya, ia perlu turut menjadi medan mengurus kerukunan sosial sama seperti peranan sekolah kebangsaan.

Mengurus kerukunan sosial ini bergantung kepada empat perkara, iaitu penyesuaian, matlamat, integrasi dan terpendam.

Justeru, sektor pendidikan vernakular perlu mampu menguruskan keempat-empat perkara ini bagi mewujudkan kerukunan sosial di sekolah mereka.

Tambahnya, Kementerian Perpaduan Negara telah menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Rukun Negara melibatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi yang bertujuan meletakkan kembali penghayatan asas dan prinsip Rukun Negara dalam sistem pendidikan negara.

Sehingga kini, kementerian dengan kerjasama KPM dan KPT telah menubuhkan sebanyak 6,849 Kelab Rukun Negara (KRN) dan 189 Sekretariat Rukun Negara (SRN) di seluruh negara bagi meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan generasi muda yang mampu menjadi pemangkin kepada perpaduan negara.

Maka tahun ini, kementerian menerusi agensi akan melipatgandakan usaha untuk meningkatkan penghayatan Rukun Negara dalam kalangan rakyat supaya ia menjadi amalan hidup seharian

Show More

Related Articles

Back to top button