Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia Zon Kuala Kurau tahan kapal korek di perairan Perak

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau pada Rabu lalu menahan sebuah kapal pengorek pasir yang melakukan aktiviti mengorek pasir secara haram di perairan Kerian dan Larut Matang, Perak.

Komander Maritim, Mohd Najhan Azman Hamid berkata, aktiviti berkenaan dikesan oleh anggota penguatkuasa bot peronda zon maritim Kuala Kurau ketika melakukan pemantauan rutin di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati ‘Master kapal’ adalah seorang warga Indonesia tanpa dokumen kebenaran untuk aktiviti tersebut dan kapal tidak mempunyai insurans yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasmi agensi itu.

Mohd Najhan berkata, kapal korek berkenaan yang membawa 21 kru termasuk 15 warga China, Indonesia (5) dan seorang warga tempatan itu melakukan pelbagai kesalahan dengan denda boleh mencecah RM100,000 hingga RM500,000 jika disabitkan kesalahan.

“Kes diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Kuala Kurau kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pelantar Benua 1966 dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan jenayah maritim boleh hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

Show More

Related Articles

Back to top button