Berita Semasa

JAPEN umum tempoh sah laku baharu Kad Perakuan Media

PUTRAJAYA – Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) hari ini memaklumkan tempoh sah laku Kad Perakuan Media (KPM) keluarannya adalah selama dua tahun bagi pengamal media rasmi kerajaan dan media tempatan termasuk media dalam talian.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, tempoh sama turut terpakai bagi pengamal media antarabangsa berwarganegara Malaysia.

“Bagi pengamal media yang mempunyai kontrak tahunan dengan syarikat, sebagai contoh stringer, tempoh sah laku adalah selama satu tahun.

“Tempoh sah laku selama satu tahun turut terpakai bagi pengamal media asing yang bukan warganegara Malaysia,” kata JaPen dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, bagi pengamal media dalam talian yang baharu berdaftar dengan JaPen, tempoh sah laku diberikan adalah selama enam bulan.

“Tempoh ini untuk memastikan media dalam talian tersebut beroperasi secara aktif, sahih dan tidak menyebarkan maklumat palsu (disinformation).

“Selepas itu, tempoh kelulusan yang diberikan adalah sama seperti kategori-kategori di atas,” kata JaPen lagi.

Tambahnya, tempoh sah laku ini berkuat kuasa serta mulai hari ini.

“Pemegang KPM JaPen yang mempunyai tempoh sah laku masih aktif boleh membuat permohonan memperbaharui selepas tamat tempoh KPM masing-masing.

“(Manakala) Semua permohonan pendaftaran agensi media baharu dan permohonan KPM yang lain adalah tertakluk kepada tempoh sah laku KPM yang baru ditetapkan seperti di atas,” katanya lagi.

Garis panduan yang telah ditetapkan melalui pautan Soalan Lazim di portal rasmi permohonan kad perakuan media adalah masih berkuatkuasa dan terpakai ke atas semua pemegang KPM yang dikeluarkan JaPen.

Show More

Related Articles

Back to top button