Program Repatriasi Migran: PATI ditawar pulang secara sukarela, terkecuali pendakwaan
Penyertaan dalam program itu bagaimanapun tidak boleh dibuat melalui pihak ketiga atau ejen
PUTRAJAYA – Seramai 848 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah mendaftar dalam Program Repatriasi Migran (PRM) yang memberi peluang kepada mereka untuk pulang ke negara asal tanpa dikenakan sebarang tindakan undang-undang di negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, program yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula hari ini sehingga 31 December 2024 itu bertujuan mengurangkan jumlah PATI di dalam negara bagi tujuan keselamatan dan pembangunan ekonomi.
“Melalui program ini, kita tawarkan PATI yang hadir menyerah diri pengecualian daripada tindakan pendakwaan atau siasatan dan mereka boleh pulang ke negara asal mereka.
“Setakat jam 12 tengahari hari ini, seramai 848 orang PATI sudah merdaftar untuk menyertainya.
“Pendaftaran dan pelaksanaan Program Repatriasi Migran dikawal selia Jabatan Imigresen Malaysia sepenuhnya dengan perincian lanjut mekanisme pelaksanaan oleh Jabatan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau bagaimanapun mengingatkan, JIM tidak akan melayan mana-mana pihak yang mahu menyertai program itu melalui pihak ketiga atau ejen.
“Kalau ada yang mahu nak guna ejen, lupakan. Kerajaan tidak akan melayan sebarang permohonan dari pihak ketiga atau ejen,” tegasnya.
Saifuddin Nasution berkata, pelaksanaan PRM mengambil kira empat komponen utama untuk merendahkan kos migrasi pekerja asing, mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing, memastikan kebajikan pekerja dan memelihara kepentingan majikan.
Kelmarin, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menawarkan pengecualian pendakwaan dan menawarkan kompaun kepada PATI yang menyerah diri untuk pulang ke negara asal.
Antara syarat yang perlu dipatuhi melalui program itu adalah memiliki tiket penerbangan pulang dan dokumen perjalanan yang sah dari negara asal atau sebarang dokumen yang membenarkan mereka memasuki sesebuah negara.
Ruslin berkata, pihaknya menganggarkan sekitar 300,000 hingga 400,000 pendatang asing akan menyertai program itu.