Berita Semasa

Imigresen tahan 2 warga tempatan cuba seludup 6 PATI warga Myanmar

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan manusia dalam satu Operasi Khas yang dilaksanakan pada 21 Februari lalu membabitkan beberapa lokasi di sekitar Kubang Kerian, Kelantan.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, seramai enam orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua orang lelaki warga tempatan telah ditahan menjadikan jumlah keseluruhan yang ditangkap seramai lapan orang.

Jelasnya, enam orang PATI yang ditangkap berumur antara 17 hingga 25 tahun terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Myanmar.

“Berdasarkan maklumat awam dan risikan, pasukan telah berjaya mengesan sebuah kenderaan MPV yang dipercayai transporter di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.

“Pasukan operasi bertindak mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

“Menyedari diekori, pemandu bertindak memecut kenderaan untuk melepaskan diri, namun tindakan pantas pasukan PASTAK yang menyertai operasi berkenaan berjaya menyekat kenderaan berkenaan di kawasan Simpang Tiga, Jalan Bukit Marak Jalan Peringat, Bachok.

“Pemeriksaan lanjut mendapati MPV berkenaan dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki transporter.

“Mereka dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi tertentu yang telah ditetapkan oleh sindiket,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, soal siasat ke atas transporter telah membawa pasukan ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai sebuah rumah penampungan yang membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an disyaki penjaga rumah tersebut.

Turut dirampas, wang sebanyak RM4,500 dan sebuah telefon bimbit untuk tujuan siasatan.

“Siasatan awal mendapati sindiket telah mengubah Modus Operandi dengan menghindari terminal pengangkutan awam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Sebaliknya, mereka menggunakan rumah penampungan untuk menempatkan sementara PATI yang baru diseludup dari sempadan sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke destinasi tertentu sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

“Transporter akan dibayar antara RM1,000 hingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan,” jelasnya.

Kesemua PATI dan warganegara Malaysia yang ditahan dalam kejadian ini dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan di Kota Bharu untuk tindakan lanjut, manakala kenderaan Perodua Aruz yang digunakan dalam kegiatan ini disita untuk tujuan siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button