Jenayah & Mahkamah

Suspek buat ugutan tembak jiran dengan senapang sudah dirakam keterangan

SEPANG – Individu yang didakwa mengeluarkan ugutan mahu menembak jirannya susulan pergaduhan melibatkan kenderaan diparkir sudah dirakam keterangannya.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, keterangan itu diperlukan bagi pihaknya melengkapkan siasatan insiden tersebut.

“Polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes itu sepenuhnya dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Kata Wan Kamarul Azran, kes disiasat di bawah Seksyen 148/506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua- duanya, jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian di Kampung Baru, Dengkil pada Sabtu lalu, seorang pemandu lori, Teo Chit Keong, 44, cedera akibat dibelasah 30 individu  ketika menegur jirannya untuk mengalihkan kenderaan yang menghalang laluan.

Dalam kejadian pada pukul 10.15 malam itu, mangsa bukan sahaja dipukul menggunakan objek keras seperti batu-bata, topi keleder dan batang mop malah turut diugut bunuh dengan senapang.

Susulan kejadian, mangsa termasuk 13 lagi individu ditahan.

Kesemua yang ditahan kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button