Automatif & Teknologi

Range Rover Evoque Facelift dilancar di Malaysia dengan harga bermula RM498,800

KUALA LUMPUR – Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan Range Rover Evoque Facelift, yang melambangkan kemewahan moden.

Mengekalkan rupa bentuk siluet ikoniknya, Range Rover Evoque Facelift yang baharu menarik perhatian dengan penampilan bergaya dan reka bentuk aerodinamik selain reka bentuk luar dipertingkatkan dengan gril yang direka bentuk semula, lampu depan Pixel LED penuh bergaya dan Lampu Pergerakan Siang (DRL) yang tersendiri boleh didapati dalam Lux Spec.

Model dinaik taraf ini juga kelihatan seperti permata apabila ia memaparkan grafik depan dan belakang yang
lebih unik dan menonjol. Bagi melengkapi bumbung terapung dan juga garis badan yang lancar dan tidak terputus, Evoque Facelift memaparkan serlahan dan warna luar serba baharu untuk membawa perwatakan yang sememangnya berbeza.

Profil Evoque dengan garis bentuk seperti coupe dicirikan oleh kontur bumbung yang mencerminkan kepantasan dan garis pinggang yang menaik manakala DNA Range Rover boleh dikenal pasti serta-merta daripada Flush Deployable Door Handles sehingga ke bumbung terapung.

Lebih menarik model ini digandingkan dengan roda 21 inci pada Lux Spec, unsur-unsur ini menghasilkan penampilan yang teguh dan dinamik. Tambahan lagi, reka bentuk gril terbaharu meningkatkan lagi kecanggihan
keseluruhan kenderaan.

Di ruangan kabin, falsafah reka bentuk moden dipaparkan oleh skrin sentuh kaca melengkung 11.4 inci baharu, yang disepadukan dengan rapi ke dalam konsol tengah. Ini bukan sahaja meluaskan tahap penglihatan tetapi juga menyediakan lebih banyak ruang untuk simpanan dalam dan Pengecasan Peranti Tanpa Wayar.

Dipacu oleh teknologi info hiburan Pivi Pro generasi terbaharu, dengan ciri software Over The Air yang terkini, Evoque Facelift menjanjikan pengalaman digital yang serba lancar dan selesa. Ciri-ciri lain yang sama hebat termasuk sistem bunyi Meridian 400W premium, turus stereng yang boleh dilaraskan secara elektrik, pedal pertukaran gear krom satin, dan roda stereng dengan bezel cahaya bulan.

Dengan dua pilihan menarik, model P200 dan P250 setiap satu menawarkan ciri-ciri kelebihan yang unik. P200, yang dilengkapi enjin petrol empat silinder 2.0 liter 200PS, menghasilkan tindak balas pantas dengan pecutan 0-100km/j dalam masa 8.6 saat, dan juga tork 320Nm pada 1,200-4,000rpm, menggabungkan prestasi
dengan kecekapan.

Sementara itu, model P250 menjanjikan prestasi lebih tinggi dengan tork 249PS dan 365Nm pada 1,300-4,500rpm, dengan keupayaan memecut 0-100km/j dalam masa 7.6 saat.

Pada masa sama ia turut dilengkapi sistem keselamatan dengan menggunakan rangkaian teknologi kamera paling canggih dalam kelasnya. Boleh didapati dalam Spesifikasi H dan Lux, kemudahan seperti kamera 3D Surround, ClearSight Ground View dan ClearSight Interior Rear View meningkatkan keyakinan pemandu dan menetapkan piawaian baharu dalam aspek keselamatan.

Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Sime Darby Motors, Jeffrey Ganber berkata, langkah memperkenalkan Range Rover Evoque Facelift merupakan satu mercu jaya bagi Sime Darby Motors.

“Kenderaan hebat ini menetapkan penanda aras bagi SUV mewah kompak dan memperlihatkan inovasi automotif. Dengan penambahbaikan terbaharu, Range Rover Evoque Facelift memadankan dengan sempurna, kuasa dan kelestarian, mencerminkan dedikasi kami untuk mengukuhkan pengalaman memandu bagi pelanggan kami yang arif,” katanya.

Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz berkata, kemewahan, kemodenan dan kecanggihan diterapkan dalam segala ciri kelebihan Range Rover Evoque Facelift mencerminkan kekayaan warisan kami sambil menetapkan hala tuju baharu, menyerlahkan reka bentuk kontemporari dan teknologi terkini.

“Dengan setiap perincian dihasilkan dengan teliti, Evoque 2024 bakal mengatasi jangkaan, sambil meningkatkan penghargaan terhadap kehalusan seni sebuah SUV mewah,” ujarnya.

Range Rover Evoque Facelift baharu boleh didapati dalam tiga pilihan, pada harga RM498,800 untuk 200PS Dynamic SE (M Spec), RM529,800 untuk 249PS Dynamic SE (H Spec), dan RM565,800 untuk Evoque 249PS Dynamic HSE (Lux Spec).

Bagi menceriakan lagi musim perayaan, skima warna kali ini turut meraikan semangat Tahun Naga. Antara pilihan yang menarik termasuk Corinthian Bronze (Gangsa Corinthian),Tribeca Blue (Biru Tribeca), dan Arroios Grey (Kelabu Arrorios), yang dikaitkan dengan kemewahan dan ketenangan.

Model baharu Range Rover Evoque Facelift boleh dilihat lebih secara dekat di Jaguar Land Rover (JLR) di Ara Damansara (+603-7651 2000) dan Pulau Pinang (+604-226 2279). Pusat-pusat pengedar JLR di Malaysia mematuhi piawaian global JLR dan memberikan pengalaman pembelian dan pemilikan moden mewah yang baharu.

Pelanggan juga boleh melayari https://www.landrover.com.my untuk maklumat lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button