Kod Etika Wartawan Malaysia diluncurkan secara rasmi hari ini
PUTRAJAYA – Kod Etika Wartawan Malaysia diluncurkan secara rasmi dalam satu majlis di sini hari ini oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurut Fahmi, kod etika tersebut telah dibangunkan oleh kerajaan bersama organisasi yang mewakili media serta golongan akademik.
Jelasnya, ia telah diteliti buat kali pertama selepas diperkenalkan pada 1989 oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI).
“Empat sesi libat urus telah diadakan melibatkan bukan hanya Jabatan Penerangan, National Union Journalist (NUJ) wakil dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta jawatankuasa Majlis Media Malaysia,” katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi menyifatkan peluncuran Kod Etika Wartawan Malaysia ini adalah usaha yang baik bagi memastikan kemampanan dan etika bidang kewartawanan itu sendiri berada pada tahap yang baik.
“Dalam era media sosial yang ada pada hari ini, dengan internet yang laju kadang kala fitnah diterbitkan lebih laju maka usaha kita untuk menyampaikan berita yang betul dan sahih dengan mana fakta-faktanya telah disemak.
“Bagi saya sebaran berita palsu perlu dikekang tapi juga dalam kalangan rakyat perlu ada satu usaha untuk meningkatkan tahap kesedaran bila datang kepada kita sebarang maklumat atau berita adakah perkara itu benar-benar berita seperti dilaporkan ataupun telah diubahsuai oleh pihak berkepentingan.
“Maka saya lihat kod etika kewartawanan yang diluncurkan pada hari ini adalah sebahagian usaha kerajaan untuk secara keseluruhan membentuk satu budaya yang lebih prihatin terhadap bukan hanya kebenaran tapi bersikap adil kepada wartawan,” ujarnya lagi.
Sebagai rekod, setakat 16 Februari 2024, seramai 9,750 pengamal media berdaftar dengan Kad Perakuan Media Jabatan Penerangan melibatkan 152 agensi media dengan 4 daripadanya merupakan media rasmi kerajaan, 38 media tempatan, 60 media dalam talian dan 50 media antarabangsa.