Berita Semasa

DPN 2.0 akan dilancar tahun ini

Ditambah baik bagi perkukuhkan agenda kepenggunaan

PUTRAJAYA – Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0 yang akan dilancarkan serentak dengan Pelan Tindakan Kepenggunaan 2030 (PTK) pada tahun ini akan ditambah baik bagi memperkukuh agenda kepenggunaan Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, selepas lebih dua dekad dilancarkan, wujud keperluan bagi dasar itu ditambah baik dengan mengambil kira situasi perkembangan ekonomi, tuntutan semasa dan keperluan agenda kepenggunaan yang lebih bersifat holistik.

Beliau berkata, DPN 2.0 dirangka berteraskan tiga perkara iaitu partisipasi rakyat, perundangan dan penguatkuasaan serta pendidikan nilai kepenggunaan.

“Ini tiga komponen penting sebab kita mahu DPN ini kelak bukan hanya merupakan satu dasar kerajaan tetapi merupakan dasar yang akan digerakkan secara keseluruhan negara, ia juga milik kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan supaya mereka dapat bergerak bersama-sama kerajaan dan KPDN menjayakan dan melaksanakan dasar ini.

“Kita ingin melihat juga melalui DPN 2.0, teras agenda kita dalam kepenggunaan ialah dapat membuat anjakan yang selama ini bersifat perlindungan pengguna kepada daya ketahanan pengguna,” kata hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Dialog Prakarsa Pendayaupayaan Pengguna, di sini.

Tambah Armizan lagi, DPN 2.0 turut merangkumi penambahbaikan pelbagai aspek termasuk perundangan supaya dapat melindungi hak dan daya ketahanan pengguna.

“Contohnya aspek yang pernah dibangkitkan ialah ‘Lemon Law’ yang mana kita akan lihat juga melalui dasar kepenggunaan ini sama ada kita memerlukan perundangan khusus yang terkait dengan undang-undang ini atau kita boleh tambah baik perundangan sedia ada.

” ‘Lemon Law’ ialah remedi untuk pembeli kereta dan barangan pengguna lain dalam mengimbangi produk yang berulang kali gagal memenuhi standard kualiti serta prestasi.

“Kita juga akan melihat dari aspek e-dagang dan kecerdasan buatan (AI) kerana banyak perubahan dari aspek asas ekonomi, bukan sahaja di negara ini, malah dunia,” katanya.

Dalam sesi hari ini, kira-kira 400 peserta yang terdiri dari pelbagai agensi, badan bukan kerajaan (NGO) pemain industri, ahli akademik serta individu bukan kerajaan hadir bagi membincangkan dan mengetengahkan isu berkaitan kepenggunaan.

Show More

Related Articles

Back to top button