Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia rampas 51 unit bubu naga

KUALA KRAU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Kurau pada Jumaat lalu merampas 51 unit bubu naga di kedudukan 2.8 batu nautika barat Pulau Kalumpang dekat sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, kesemua bubu naga tersebut dirampas oleh pasukan bot peronda ketika melakukan rondaan di perairan Kerian dan Larut Matang hasil penemuan penanda botol yang mencurigakan di lokasi terbabit.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir empat ribu ringgit itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen.

Seorang wanita warga Indonesia didapati menggunakan dokumen perjalanan yang tamat tempoh.

Sementara itu, seorang wanita warga Indonesia ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 2.3 batu nautika muara Kuala Kedah pada pukul 2.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot peronda milik Maritim Malaysia bot PERKASA 1224 sedang melaksanakan rondaan rutin Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah sebelum menerima maklumat risikan dan menahan feri berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas feri berkenaan, anggota penguat kuasa mendapati dokumen perjalanan wanita berkenaan telah tamat tempoh pada tahun 2020.

Berikutan itu, wanita berkenaan disyaki telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bot yang menggunakan peralatan komunikasi tidak berdaftar dengan SKMM.

Dalam kes berasingan, Zon Maritim Kuala Kedah juga berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C kerana menggunakan alat komunikasi tidak berdaftar di kedudukan sekitar 4.8 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada 14 Februari lepas.

Menurut Komander Maritim Noor Azreyanti, tangkapan bot nelayan tempatan itu dilakukan bot PERKASA 1224 semasa melaksanakan rondaan rutin di sekitar perairan Kuala Kedah.

Hasil pemeriksaan mendapati bot nelayan berkenaan memiliki satu alat komunikasi jenis radio Very High Frequency (VHF) jenis SHIP STATION SS-24 yang tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Bot ditahan dibawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana menggunakan peralatan komunikasi yang tidak dibenarkan dan tidak memiliki sebarang surat kebenaran penggunaannya.

Bot berkenaan juga telah melakukan kesalahan dibawah Akta Perikanan 1985 dengan melanggar syarat sah lesen berkenaan pemilikan alat perhubungan komunikasi tanpa kelulusan bertulis daripada agensi kerajaan.

Kesemua yang ditahan bersama bot berkenaan telah dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut.

Tindakan tegas boleh diambil kepada semua yang yang cuba melanggar undang-undang negara yang telah ditetapkan.

“Pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button