Lelaki dikhuatiri lemas di Pantai Batu Buruk
KUALA TERENGGANU – Kegembiraan empat sekeluarga berkelah di Pantai Batu Buruk di sini bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka dikhuatiri lemas kira-kira 11.20 pagi tadi.
Komander operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan pada 11.31 pagi daripada pihak hotel, tempat mangsa bersama keluarga menginap.
Beliau berkata mangsa Zulkarnain Mohamed Zubir, 44, berasal dari Kuala Lumpur hilang selepas dihanyutkan ombak ketika bersiar-siar di tepi pantai.
“Seramai 13 anggota termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dengan kekuatan lima jentera dari BBP Kuala Terengganu digegaskan ke lokasi kejadian pada 11.32 pagi.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dijalankan. Kejadian ini adalah yang pertama di Kuala Terengganu untuk tahun ini,” katanya memetik laporan Bernama.
Yusmizan berkata operasi SAR berdepan kesukaran disebabkan keadaan ombak tinggi dan arus deras.
“Usaha pencarian menggunakan teknik pencarian di permukaan pagi tadi gagal menemukan mangsa. Kita akan teruskan pencarian di sekitar 20 meter dari pantai,” katanya.
Sementara itu isteri mangsa, Nora Elina Abdul Khalit, 44, berkata beliau bersama suami serta dua anak perempuan berusia sembilan dan 11 tahun tiba di Kuala Terengganu Jumaat lepas untuk bercuti.
Nora Elina berkata mereka mengambil kesempatan meluangkan masa berkelah di tepi Pantai Batu Buruk pagi tadi sebelum pulang ke Kuala Lumpur tengah hari esok.
Bagaimanapun ketika asyik bermain pasir bersama anaknya, beliau mendapati suaminya sudah tiada di kawasan sekitar pantai.
“Tiba-tiba saya lihat kelibat suami di dalam air. Saya terus lempar pelampung dan berenang untuk menyelamatkan suami. Bagaimanapun ombak dan arus terlalu kuat. Saya terpaksa berpatah balik dan dapatkan bantuan daripada pihak hotel,” katanya.