Polis cari pemandu Honda HRV putih lagak samseng di jalan raya
SEGAMAT – Pihak polis sedang mencari seorang lelaki kerana disyaki bertindak seperti pembuli jalan raya dan memandu secara berbahaya di Jalan Genuang, Segamat pada 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, mangsa kejadian, seorang lelaki berusia 40 tahun telah membuat laporan polis.
Berdasarkan laporan berkenaan, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.40 pagi ketika mangsa sedang memandu kereta dari Jalan Buloh Kasap ke Bandar Segamat.
“Ketika kejadian telah datang satu kereta Honda HRV warna putih brek mengejut tanpa sebab. Mangsa yang sedang memandu terpaksa menekan brek secara mengejut dan menyebabkan anak-anaknya jatuh di dalam kereta.
“Mangsa bertindak memarahi lelaki berkenaan, namun suspek telah mengeluarkan ‘stering lock’ dan mengacu ke arah mangsa, namun mangsa meneruskan perjalanan seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, semalam.
Ahmad Zamry menambah, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 506/279 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan.
Terdahulu, pihaknya juga mendapati satu rakaman video berdurasi satu minit 44 saat menjadi tular di media sosial.
Ia memaparkan sebuah kenderaan jenis honda HRV berwarna putih dipandu secara berbahaya.
Dalam video berkenaan, kenderaan tersebut didapati beberapa kali menghalang laluan serta menekan brek secara mengejut dengan niat membuat provokasi terhadap pemandu lain.