Beras Putih Malaysia Madani: Kerajaan belum buat sebarang ketetapan
PUTRAJAYA – Kerajaan masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung cadangan untuk mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebarang pengumuman atau ketetapan yang hendak dibuat mestilah berpandukan kepada Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].
Pada masa sama, katanya, ia mesti
dimaklumkan kepada jemaah menteri.
“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) ingin menjelaskan kekeliruan yang berlaku susulan pengumuman yang dibuat oleh Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Ahli Parlimen Bukit Gantang pada 14 Februari
2024.
“Buat masa ini belum ada ketetapan yang dibuat ke atas cadangan beliau untuk
mewujudkan satu gred beras putih sahaja di negara ini yang akan dikenali sebagai
Beras Putih Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Mohamad juga bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri semalam yang memaklumkan cadangan tersebut akan dibincangkan secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) akan datang.
Pada 14 Februari lalu, Syed Abu Hussin mengumumkan kerajaan memperkenalkan beras putih Malaysia Madani yang akan dijual dengan harga RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) bermula 19 Februari ini.
Syed Abu Husin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup (Naccol), Datuk Seri Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, dengan nama baharu itu kategori beras putih tempatan (SST) dan beras putih import (SSI) dimansuhkan.
Katanya, serentak itu, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kg manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin ini.