Jenayah & Mahkamah

Pengerusi, CEO Aman Palestin tidak mengaku salah 52 tuduhan pecah amanah

SHAH ALAM – Dua pemimpin tertinggi Aman Palestin membuat pengakuan tidak bersalah atas 52 tuduhan pecah amanah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Tertuduh yang merupakan Pengerusi Eksekutif, Abdullah Zaik Abdul Rahman, 58, dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut, 52, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dikemukakan terhadap mereka di hadapan Hakim Datuk Anita Harun, hari ini.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan jenayah pecah amanah atas kapasiti mereka sebagai pengarah kepada syarikat Samudra Champa Sdn Bhd yang diberikan amanah atas harta milik Aman Palestin.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan antara 12 Mac 2018 hingga 3 November tahun lalu di Maybank cawangan Bandar Baru Bangi, Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memaklumkan Hakim Datuk Anita Harun menetapkan kadar ikat jamin sebanyak RM1 juta.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Show More

Related Articles

Back to top button