Bapa peras ugut selesai kes anak dicabul guru ditahan polis
IPOH – Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki melakukan peras ugut dengan meminta wang daripada guru sekolah anaknya di sini pada Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, lelaki berusia 50 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan itu dikatakan bertindak sedemikian bagi menyelesaikan kes cabul membabitkan guru itu dengan anak perempuannya berusia 14 tahun.
Beliau berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, bapa mangsa mengesyaki guru berusia 59 tahun tersebut telah beberapa kali melakukan gangguan seksual ke atas anaknya.
“Bagi menyelesaikan kes itu, bapa mangsa meminta sejumlah wang daripada guru berkenaan.
“Perbuatan itu dilaporkan kepada polis dan tangkapan telah dibuat bagi siasatan kes mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan kerana memeras ugut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini
Katanya, berdasarkan keterangan diberikan, guru terbabit mencabul mangsa sebanyak lima kali antara Disember 2023 hingga Januari lalu.
“Guru terbabit telah ditangkap di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.