Pesawat terhempas di Kapar tidak dilengkapi kotak hitam, FDR, GPS dan CVR
KLANG: Siasatan bagi mengenalpasti punca pesawat ringan model BK 160 Gabriel yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar semalam berhadapan kesukaran selepas ia dikatakan tidak mempunyai kotak hitam.
Menurut seorang pegawai agensi di bawah Kementerian Pengangkutan (MOT), pesawat berkenaan juga dikatakan tidak dilengkapi kotak perakam suara kokpit (CVR) dan perakam data penerbangan (FDR) serta Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).
Beliau berkata, siasatan itu berkemungkinan mengambil masa sehingga setahun untuk disiapkan.
“Tiada kotak hitam, CVR, FDR. Malah GPS juga tiada, kalau ada boleh membantu siasatan.
“Kita akan bawa serpihan pesawat ini ke hangar berdekatan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang untuk siasatan lanjut,” katanya memetik laporan BH Online.
Katanya lagi, selepas serpihan pesawat berkenaan dikumpulkan, ia akan ‘dibina semula’ untuk mengenal pasti punca dan seterusnya dibawa ke makmal bagi pengesahan.
“Kita akan buat analisis dan siasatan mungkin mengambil masa setahun. Setakat ini tiada rumusan punca nahas manakala enjin pesawat akan dibuka untuk diperiksa satu persatu,” katanya.
Pegawai itu berkata, seorang saksi mendakwa melihat sayap pesawat berkenaan patah di udara sebelum terhempas.
Katanya, siasatan akan menjurus terhadap aspek itu selain enjin pesawat.
“Kita akan lihat pada sayap termasuk hentakan yang berlaku selain enjin pesawat.
“Kita akan kaji segala kemungkinan punca kejadian ini. Orang ramai diharap menyerahkan mana-mana serpihan kecil pesawat jika menemuinya,” katanya.
Ditanya sama ada pesawat tanpa alat komunikasi dibenar melakukan penerbangan, beliau berkata, perkara itu perlu dirujuk kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).