Dr Mahathir dirawat di IJN, kes saman fitnah ditangguh
KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes saman fitnah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dijadualkan hari ini ditangguh kepada 19 Julai ini.
Perkara itu diputuskan oleh Mahkamah Tinggi selepas Dr Mahathir disahkan sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Peguam yang mewakili Dr Mahathir, Mior Nor Haidir Suhaimi memaklumkan anak guamnya juga diberikan sijil cuti sakit sehingga Sabtu ini kerana tidak sihat.
“Kita boleh lapangkan tarikh kes lain bagi beri laluan kepada kes ini. Saya rasa Tun Mahathir adalah plaintif paling tua dalam mahkamah ini. Mahkamah tetapkan 19 Julai ini bagi perbicaraan,” katanya memetik laporan Sinar Harian.
Saman fitnah itu difailkan Dr Mahathir terhadap Presiden UMNO itu kerana mempersoalkan asal usul bekas Ahli Parlimen Langkawi ini pada 2017.
Dr Mahathir, 97, yang juga bekas Pengerusi BERSATU selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai lalu dengan menamakan Ahmad Zahid, 69, sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Dr Mahathir berkata, defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif ketika Mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya pada 30 Julai 2017.