Jenayah & Mahkamah

Kamera tersembunyi dalam bilik air, Polis PP cari lelaki bantu siasatan

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan kamera tersembunyi dalam bilik air sebuah sebuah inap desa di Jelutong, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid berkata, berdasarkan siasatan, polis mendapati lelaki tempatan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Katanya, setakat ini polis merekodkan keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa terbabit bagi membantu siasatan kes.

“Berdasarkan siasatan dan keterangan yang direkod setakat ini, polis sedang mengesan seorang lelaki dan dia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kamera tersembunyi dalam bilik air tersebut.

“Pemeriksaan pihak polis mendapati pautan yang terdapat di kamera itu menghubungkan dengan telefon bimbit lelaki berkenaan dan sebab itu kita kesan dia untuk membantu siasatan kes,” katanya, hari ini.

Razlam berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.

Semalam, polis mengesahkan menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 24 tahun mendakwa diintip menerusi kamera yang disembunyikan di dalam bekas pewangi di bilik air, ketika sedang bercuti pada 5 hingga 6 Februari lepas.

Show More

Related Articles

Back to top button