Kes Nik Elin: YADIM seru henti polemik Islam terancam
PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyeru semua pihak menghentikan segera polemik di media sosial yang sengaja memberikan gambaran negatif bahawa Islam terancam selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid semalam.
Terdahulu, Mahkamah Persekutuan dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan permohonan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman membatalkan 16 daripada 18 peruntukan yang dikemukakan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 semalam.
YADIM dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan tersebut adalah bebas pengaruh politik, selaras dengan doktrin pengasingan kuasa iaitu antara badan pentadbiran, badan perundangan dan badan kehakiman yang diamalkan di negara ini.
“Sesungguhnya polemik yang tidak berasas ini sekali lagi akan mencetuskan kekeruhan dan situasi negatif dalam masyarakat,” katanya.
Tambah YADIM, masyarakat khasnya dalam kalangan umat Islam perlu bertenang dan berusaha memahami susur galur kes ini secara ilmiah.
Katanya, tanggapan-tanggapan negatif khasnya yang banyak dilontarkan secara bebas di media sosial tidak membawa apa-apa kebaikan, malah hanya mengeruhkan keadaan.
Sehubungan dengan itu, Yadim menyokong penuh usaha Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Mohd Naim Mokhtar, untuk menjalankan kajian segera ke atas alasan penghakiman kes tersebut.
“YADIM menyokong tindakan Menteri Agama untuk memohon perkenan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Timbalan Yang di-Pertuan Agong.
Menteri Agama juga akan memohon perkenan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dan DYMM Raja-Raja Melayu untuk menyembah maklum perkara ini, sesuai dengan kedudukan Raja-Raja Melayu selaku ketua agama Islam di Malaysia.
“Ia akan disusuli dengan perancangan-perancangan lanjut bagi memastikan agenda penambahbaikan dan pemerkasaan Mahkamah Syariah akan terus berjalan di Malaysia,” ujarnya lagi.
YADIM berkata, pihaknya percaya dan yakin penegasan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bahawa kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia akan kekal utuh kerana kedudukannya dinyatakan dengan jelas di dalam Perlembagaan Malaysia.
“YADIM ingin menyatakan kesediaan memberikan bantuan dan kerjasama penuh kepada pihak Menteri Agama sebagai saluran sebaran maklumat benar dan tepat kepada rakyat dalam isu ini dan juga lain-lain isu berkaitan agar agama Islam diperkasakan di negara ini,” katanya lagi.