Berita Semasa

Najib berhasrat failkan permohonan pengampunan baharu – Shafee

KUALA LUMPUR – Peguam utama bekas Perdana Menteri Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan bahawa anak guamnya akan memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Walau bagaiamanapun, Shafee berkata, pihaknya sedang menunggu arahan daripada Najib Razak untuk memfailkan permohonan tersebut.

“Asas permohonan pengampunan kami tidak berpaksikan pada sebarang fakta pengakuan bersalah kerana pada hakikat bahawa beliau tidak bersalah dan tidak pernah diberi perbicaraan dan rayuan yang adil terutama di Mahkamah Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Pada 2 Februari lalu, media melaporkan Najib menerima pengurangan sebanyak 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain itu, jumlah denda perlu dibayar oleh Najib juga dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Terdahulu, pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi (kini hakim Mahkamah Rayuan) Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah seterusnya mengenakan hukuman penjara 12 tahun serta denda berjumlah RM210 juta.

Keputusan tersebut dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 dan panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos tahun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button