Malaysia capai kedudukan tertinggi dalam ITU IDI 2023
CYBERJAYA – Indeks Pembangunan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) 2023 (IDI 2023) meletakkan Malaysia dalam kalangan pendahulu bagi pembangunan telekomunikasi di pentas global.
Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Malaysia telah meraih skor sebanyak 94.5 daripada jumlah keseluruhan 100 mata.
“Ia melepasi skor purata global iaitu 72.8 mata, sekali gus menunjukkan pencapaian cemerlang ke arah mencapai sasaran Kesalinghubungan Sejagat dan Bermakna.
“Analisis ke atas laporan tersebut menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-15 dunia dan ketiga di rantau ASEAN,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut MCMC, indeks itu boleh dilayari menerusi penerbitan terkini daripada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di https://www.itu.int/itud/reports/statistics/IDI2023/.
Dalam pada itu katanya, indeks IDI 2023 merangkumi 10 indikator, yang mana melaporkan Malaysia telah hampir mencapai liputan sejagat bagi rangkaian mudah alih 4G/LTE, langganan jalur lebar mudah alih yang tinggi serta harga yang lebih rendah untuk perkhidmatan jalur lebar tetap dan mudah alih.
“Malaysia turut merekodkan kadar penggunaan internet, pemilikan telefon
bimbit dan trafik internet yang tinggi.
“Kesemua pencapaian berkenaan jelas
menunjukkan akses yang mapan kepada perkhidmatan digital serta penglibatan digital secara meluas di Malaysia.
“Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pencapaian ini mencerminkan
komitmen berterusan kerajaan untuk merealisasikan kesalinghubungan
sejagat dan bermakna buat semua rakyat Malaysia, dengan keterangkuman
sebagai pemacu utama dalam memastikan perkhidmatan komunikasi adalah merata.
Dengan sokongan padu dan kerjasama pelbagai pihak, pelaksanaan infrastruktur digital telah dipercepat dengan penerimagunaan Garis Panduan Perancangan Infrastruktur Komunikasi (GPP-I) oleh kerajaan-kerajaan negeri,serta penubuhan Jawatankuasa Penyeragaman Kos Caj dan Fi Pembangunan Infrastruktur Komunikasi yang diluluskan oleh Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM).
Sementara itu katanya, sokongan daripada semua pihak berkepentingan telah membolehkan pihaknya memajukan perancangan dan pelaksanaan liputan 5G dan satelit bagi menangani cabaran kesalinghubungan di kawasan pedalaman dan terpencil.
Ujarnya, setakat 31 Disember lalu pelaksanaan 5G di Malaysia telah mencapai 80.2 peratus liputan di kawasan berpenduduk.