‘Saya tinggalkan satu mata dan satu telinga di Johor’ – Agong
KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, baginda akan meninggalkan ‘satu mata dan telinga’ bagi memantau apa yang berlaku di Johor.
“Saya tinggalkan satu mata dan satu telinga di Johor untuk memantau apa yang berlaku di sini. (Orang Johor) jangan terkejut, saya akan tiba-tiba menjelma ke mana-mana daerah,” titah Baginda menerusi satu video yang dimuat di Facebook.
Baginda turut bertitah akan sentiasa pulang ke Johor kerana itu adalah kampung Baginda.
“Saya harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah Baginda lagi.
Sultan Ibrahim bertitah bahawa menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 bukan kenaikan pangkat, sebaliknya ia adalah tambahan tanggungjawab.
“Jadi Agong ini bukan naik pangkat. It’s added responsibility. Saya mewakili raja-raja lain. Makin berat but it’s a duty call, my right to serve,” titah Baginda.
Baginda turut mengakui bimbang untuk memikul jawatan tersebut, namun Baginda akan cuba yang terbaik.
“Saya takut, takut juga. Takut I cannot carry the job but I’ll try my best.
“The first thing rakyat must be protected.
“Lidi sepatah mudah dipatah, secekak tidak mudah dipatah. Saya ingat itu,” titah Baginda.