Jenayah & Mahkamah

Maritim Malaysia rampas syabu RM1.32 juta

Syabu RM1.32 juta dirampas di jeti nelayan Sekinchan

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merampas dadah dipercayai syabu seberat 40.37 kikogram dianggarkan bernilai RM1.32 juta dibungkus dalam pek teh cina dalam sebuah bot di jeti nelayan Sekinchan, Selangor.

Pengarah Maritim Malaysia Selangor, Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, dalam serbuan yang dilakukan kelmarin, tiga lelaki meloloskan diri dengan terjun ke laut, manakala seorang lelaki warga Indonesia ditahan dipercayai di bawah pengaruh dadah.

“Tiga lelaki terjun ke dalam air dan meloloskan diri, manakala seorang lelaki warga Indonesia berusia 44 tahun berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penemuan dua guni yang disimpan di dalam petak simpanan bahan mentah masakan atas bot.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua guni itu berisi 38 bungkusan teh cina disyaki dadah jenis syabu seberat 40.37kg dianggarkan bernilai RM1.32 juta,” katanya.

Katanya, suspekyang ditahan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai bekerja sebagai nelayan.

“Kes disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/1863,” katanya.

Difahamkan rampasan itu adalah yang terbesar bagi agensi berkenaan sejak 2021.

Show More

Related Articles

Back to top button