Automatif & Teknologi

Pra tempahan kereta EV BYD SEAL mula dibuka

KUALA LUMPUR – Model baharu kenderaan elektrik (EV) BYD, BYD SEAL bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Menurut Sime Darby Beyond Auto (SDBA) yang merupakan pengedar eksklusif BYD di Malaysia, orang ramai boleh membuat pra tempahan untuk model itu bermula 19 Januari lalu.

“Peminat EV boleh mengesahkan tempahan masing-masing menerusi laman web rasmi baharu yang dilancarkan semula, https://byd.simedarbymotors.my/.

“Pilihan terbaharu dalam rangkaian EV BYD ini pasti menambat hati penggemar EV, dengan membawakan teknologi terkini, reka bentuk bergaya dan prestasi tiada tandingan,” katanya.

Katanya, yuran pra tempahan hanya RM1,000 seunit, pelanggan yang berminat boleh mengesahkan status mereka sebagai salah satu daripada pembeli terawal BYD SEAL.

Tambahnya, yuran ini adalah sebahagian daripada harga kenderaan dan bayaran muka, dengan pengembalian wang tempahan yang tertakluk kepada terma dan syarat.

BYD SEAL berjaya meraih anugerah berprestij, termasuk Anugerah Reka Bentuk iF, sekali gus membuktikan kecemerlangannya dari segi estetika dan fungsi.

Kenderaan ini juga mempunyai penarafan keselamatan lima-bintang daripada Euro NCAP, program keselamatan bebas terkemuka di Eropah.

Dalam pada itu, BYD SEAL telah muncul sebagai calon pusingan akhir dalam anugerah Kereta Terbaik Eropah Tahun 2024, mengukuhkan statusnya sebagai pelopor dalam industri EV.

Sementara itu katanya, SDBA juga bakal melancarkan siri promosi menarik, tawaran eksklusif dan kempen hebat dengan kadar faedah 0 peratus.

“Inisiatif ini dirangka untuk mengekalkan momentum dan memberikan nilai yang tiada tandingan kepada pemandu Malaysia yang mahu beralih kepada kenderaan elektrik,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button