Sukan

KBS sedia bantu skuad hoki 5 sebelah negara – Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membantu skuad hoki lima sebelah kebangsaan yang telah menunjukkan aksi menakjubkan dalam edisi pertama Piala Dunia Hoki 5 Sebelah di Muscat, Oman.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, pada tahun lalu sahaja pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM5.63 juta untuk membantu skuad hoki negara secara keseluruhan.

“Mari fahami berapa peruntukan untuk sukan hoki di Malaysia. Bagi tahun 2023, 5 pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta.

“Piala Dunia Hoki 5 sebelah ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami sedang usahakan bantuan,” katanya.

Menurut Hannah lagi, secara keseluruhan jumlah besar yang perlu dibantu oleh KBSdan Majlis Sukan Negara ialah melibatkan 7 pasukan.

Awal pagi tadi skuad hoki 5 sebelah lelaki Malaysia mencipta sensasi tersendiri selepas melakar sejarah melangkah ke pentas akhir kejohanan itu menerusi kejayaan menewaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir yang berlangsung hari ini.

Sementara itu, pasukan wanita pula menutup kempen dengan meraih tempat keenam terbaik dalam kejohanan itu.

Kemenangan ini telah membuka mata peminat hoki negara dan meminta pihak berkenaan membantu pasukan hoki 5 sebelah.

Lebih mengejutkan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mendedahkan Wallace Tan tidak mahu menerima gaji disebabkan kekangan kewangan persatuan itu dan hanya menerima elaun makanan.

Malah, Subahan turut mendedahkan banyak peralatan baharu tidak dapat disediakan disebabkan kekangan kewangan.

Sementara itu, peminat hoki boleh menyaksikan siaran langsung pertemuan antara Malaysia dan Belanda di siaran RTM dan TV Okey pada pukul 12.20 pagi ini.

 

Show More

Related Articles

Back to top button