Berita Semasa

Hazani dilantik KP Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia pertama

PUTRAJAYA – Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama, berkuatkuasa hari ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada sidang media khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini selepas Mesyuarat Jemaah Menteri.

Hadir sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain serta Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh serta Hazani.

“MCBA merupakan agensi Kerajaan barisan hadapan di pintu-pintu masuk negara termasuk pelabuhan dan bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kawalan sempadan dan pemeriksaan secara bersepadu dan komprehensif di pintu masuk darat, laut dan udara termasuk pelabuhan

“Secara umumnya, MCBA berperanan menguatkuasa undang-undang mengawal kebolehterimaan keluar masuk orang, barangan, kenderaan dan kargo di pintu masuk negara,” jelas Saifuddin.

Mengulas mengenai pelantikan Hazani, Saifuddin berkata, pelantikan beliau adalah berdasarkan kelayakan dan pengalamannya yang luas selama 37 tahun dalam bidang keselamatan dan ketenteraman negara serta penguatkuasaan dan kawalan undang-undang.

Katanya, beliau mula berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) seiak tahun 1987 dan telah diberi kepercayaan melaksanakan operasi-operasi khas bagi membanteras kegiatan jenayah, penyeludupan, rompakan dan lain-lain aktiviti jenayah termasuk mengetuai operasi serbuan untuk memberkas pengganas.

“Beliau juga banyak menumpaskan elemen dan cubaan pencerobohan bersenjata sewaktu beliau ditugaskan sebagai Assistan Komissioner Polis (ACP), Bahagian Pasukan Khas di kawasan Pantai Timur Sabah.

“Sehinggalah beliau diamanahkan tanggungjawab sebagai Komander Eastern Command di ESSCOM atas kecemerlangan dan komitmen beliau dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah pada tahun 2020,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button