Berita SemasaJenayah & Mahkamah

Tiga anggota polis beri ‘diskaun’ di lokasi saman direman tiga hari

IPOH – Tiga orang anggota polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes menerima wang daripada pelancong warga United Kingdom selepas mengeluarkan saman atas kesalahan memandu melebihi had laju di Jalan Simpang Pulau- Cameron Highlands yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, suspek berusia antara 37 hingga 42 tahun dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak itu ditahan selama tiga hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.

Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 serta Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Jelas Mohd Yusri, kes berkenaan turut disiasat oleh Jabatan Integriti dan Pematuahn Standard (JIPS) Bukit Aman.

“Siasatan berhubung kes itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh selepas video insiden tersebut tular di media sosial semalam.

“Bagaimanapun, kertas siasatan ini diambil alih Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya apabila siasatan telah lengkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video rakaman dashcam kenderaan milik pasangan pelancong yang juga pempengaruh itu
tular menunjukkan suspek menawarkan harga saman RM100 sekiranya dibayar terus kepada mereka, berbanding RM300 di balai polis.

Susulan itu, Mohd Yusri meminta pasangan berkenaan supaya tampil memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk melengkapkan siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button