Waspada individu menyamar pegawai MCMC
CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengingatkan orang ramai untuk berwaspada dengan panggilan oleh individu tidak dikenali yang menyamar sebagai pegawai agensi tersebut.
Menurut MCMC dalam satu kenyataan, modus operandi panggilan yang diterima bermatlamat memperdaya mangsa
bagi tujuan tertentu.
“Pemanggil akan mengancam mangsa dengan menyatakan terdapat aduan terhadap talian digunakan mangsa dan mendakwa mangsa telah melakukan kesalahan.
“Sekiranya mangsa gagal mengikut arahan yang diberikan, talian tersebut akan disekat atau disenarai hitam,” katanya hari ini.
Menurut MCMC lagi, bermula 1 hingga 25 Januari lalu, MCMC telah menerima sejumlah 259 aduan dan daripada jumlah tersebut sebanyak 238 panggilan pertanyaan telah diterima bagi mengesahkan isu berkenaan.
“Sebarang pengumuman atau pemakluman mengenai sesuatu urusan berkaitan dengan MCMC lazimnya dilakukan mengikut saluran rasmi seperti e-mel, laman sesawang atau platform media sosial milik MCMC.
“Pihak berkuasa termasuk MCMC tidak akan meminta butiran dan maklumat perbankan peribadi individu. Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dan mendapatkan pengesahan sewajarnya.
“Jangan sesekali mendedahkan maklumat peribadi kepada individu tidak dikenali dan jangan memindahkan wang kepada akaun yang diragui,” katanya.
Selain itu, katanya, orang ramai disarankan untuk membuat tetapan sekatan ke atas nombor telefon pemanggil atau mendapatkan perisian atau aplikasi bagi menyekat kemasukan panggilan atau SMS ke talian telefon yang dimiliki.
Pada masa katanya, orang ramai juga digalakkan untuk menyalurkan maklumat dan mengemukakan aduan berhubung penipuan kepada pihak polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian Hotline 997.