Dua mangsa terakhir tanah runtuh Blue Valley ditemukan
CAMERON HIGHLANDS – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan selepas dua mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, Cameron Highlands ditemukan petang tadi.
Mayat dua mangsa terakhir itu sudah dibawa melepasi Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dengan trak polis.
Kedua-duanya dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dan wanita, Om Myu, 37.
Penemuan mayat masing-masing pada jam 6.10 petang dan 6.50 petang tadi dengan selang lima meter, menjadikan semua mangsa sudah ditemukan, memetik laporan Berita Harian.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Azri Ramli, mengumumkan operasi SAR ditamatkan malam ini, selepas operasi yang bermula kira-kira jam 3 pagi semalam.
Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemui di lokasi pencarian zon D dan zon C dengan jarak kira-kira 30 meter dari lokasi penemuan mangsa sebelum ini.
Katanya, semua mangsa adalah warga Myanmar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di sini untuk bedah siasat dan pengesahan identiti,” katanya pada sidang media di sini, malam ini.
Hadir sama Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.
Dua mayat pertama yang ditemukan semalam ialah Law Ha Phey, 36 dan Ki Shing Om, 48, manakala mangsa ketiga ditemukan kira-kira 12.15 tengah hari ini, Thang Moung, 25.
Azri berkata, identiti semua mangsa akan disahkan oleh Jabatan Forensik dan sudah dimaklumkan ke kedutaan Myanmar di Malaysia untuk tindakan susulan.
“Setakat ini, kita menerima laporan kehilangan lima mangsa sahaja,” katanya.