Pemansuhan pencen akan turut terpakai untuk ahli politik berjawatan
KUALA LUMPUR – Pemansuhan sistem pencen bagi penjawat awam yang dicadang dan bakal diputuskan kerajaan akan terpakai untuk wakil rakyat dan ahli politik berjawatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsipnya beliau bersetuju dengan apa sahaja keputusan yang dibuat oleh perkhidmatan awam.
Namun perkara itu katanya perlu dimuktamadkan oleh jemaah menteri selepas kajian mengenainya dibuat.
“Apa yang ditetapkan kepada penjawat awam akan terpakai juga kepada ahli politik .
“Maknanya kalau kita mula (mansuh pencen) pada 1 Februari 2024, semua kemasukan baru itu tidak akan berpencen, maka perkara yang sama juga akan berlaku kepada pelantikan baru ahli politik,” katanya kepada pemberita,” katanya selepas makan tengah hari bersama rakyat di Desa Sri Hartamas hari ini.
Anwar berkata, perkara itu tidak perlu diperbesarkan kerana terdapat kekeliruan yang boleh timbul sedangkan perkara yang sama telah lama disuarakan kerajaan terdahulu.
“Menteri Kewangan II akan mengeluarkan kenyataan kerana
ada banyak kekeliruan. Semua kerajaan daripada zaman perdana menteri sebelum-sebelum ini pun menyatakan mana-mana negara dengan kedudukan ekonomi tidak mungkin bertahan kalau tidak ada sesuatu dilakukan.
“Jadi dengar dulu cara yang dikemukakan, bahas dulu, teliti dan bagi pandangan apa yang perlu diubah suai oleh kerajaan akan dilakukan dan kemudian kita akan muktamadkan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, Kabinet meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, di mana kumpulan penjawat awam itu akan mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).