Daim, isteri tamatkan khidmat pasukan peguam kerana tidak ‘sependapat’?
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isteri, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid difahamkan telah menamatkan khidmat pasukan peguamnya dalam kes mahkamah yang sedang dihadapi mereka.
Pasangan itu juga berdepan dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Memetik laporan Malaysia Gazette, mereka menamatkan perkhidmatan peguam dua hari lepas kerana terdapat beberapa pendapat yang tidak ‘sehaluan’.
Tambah beliau, pasukan peguam baharu akan dilantik dalam masa beberapa hari lagi dan perbincangan berhubung perkara tersebut sedang dilakukan.
Sebelum ini firma Messrs Wong Kian Kheong dilantik sebagai peguam cara manakala pasukan peguam diketuai Mohd Yusof Zainal Abiden, yang merupakan bekas peguam cara negara.
Datuk M Puravelan, Alex Tan dan Yunos Shariff turut mewakili pasangan tersebut.
Pada minggu lepas, Nai’mah mengaku tidak bersalah atas dakwaan gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan harta di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi dan mohon dibicarakan.
Semalam, Ketua Pesuruhajaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya akan mendakwa Daim selewat-lewatnya minggu hadapan atas dakwaan gagal mengisytiharkan hartanah yang dimiliki bersama isterinya.
Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.
Na’imah mendakwa suaminya dianiaya disebabkan kejayaan sebagai ahli perniagaan sehingga digelar hartawan dan jutawan biarpun sebelum menyertai kerajaan.
Beliau berkata, disebabkan kejayaan itu, ia dijadikan alasan untuk memfitnah nama baik Daim dan menggambarkannya sebagai seorang perasuah.
Daim sebelum ini dilaporkan antara yang turut disiasat SPRM berkait transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 yang membabitkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM), dua entiti yang juga bekas tonggak perniagaan dikaitkan dengan UMNO ketika parti itu mentadbir negara.
Siasatan itu merupakan kesinambungan daripada pendedahan dokumen sulit oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) berhubung transaksi yang disyaki berlaku di beberapa pusat kewangan luar pesisir.
Susulan itu, SPRM pada Jun lalu membekukan akaun bank berjumlah lebih RM39 juta antara lain membabitkan milik bekas menteri kanan, dua ahli perniagaan bergelar Tan Sri dan ahli keluarga mereka.
Pembekuan itu membabitkan 192 akaun bank, merangkumi 35 akaun syarikat dan 157 akaun individu.
Bulan lalu, SPRM turut menyita Bangunan Menara Ilham di Jalan Binjai, di sini, yang dikatakan milik keluarga Daim.