Penganjur Himpunan Rakyat di Istana Negara diingatkan tidak ‘play victim’ apabila dipanggil polis
PUTRAJAYA – Penganjur Himpunan Selamatkan Rakyat di luar pintu Istana Negara semalam diingatkan supaya tidak berlagak ‘seperti mangsa’ atau ‘play victim’ apabila dipanggil pihak polis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjur berkenaan jelas gagal menuruti syarat ditetapkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA12) iaitu ‘gagal memaklumkan’
“Pihak penganjur jelas gagal menuruti syarat yang diperuntukkan.
“Fakta itu tidak berubah. Jadi, kalau tidak memaklumkan kepada polis, maksudnya dia tidak mematuhi dengan akta tersebut dan itu mengundang tindakan polis,” kata Saifuddin Nasution.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang khas di Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.
Jelas Saifuddin Nasution, APA12 mempunyai tiga bahagian penting iaitu tanggungjawab pihak penganjur, polis dan peserta perhimpunan.
Tambahnya, pihak penganjur perlu bertanggungjawab memaklumkan kepada polis untuk memudahkan aktiviti perhimpunan.
Manakala, tanggungjawab pihak polis dalam istana itu pula seharusnya memaklumkan permohonan penyerahan memorandum rakyat yang dilakukan wakil peserta perhimpunan berkenaan.
Kata Saifuddin Nasution lagi, kerajaan tidak pernah menghalang mana-mana pihak untuk melakukan perhimpunan aman di negara ini selagi ia mematuhi undang-undang ditetapkan.
Semalam, kira-kira 1,000 orang menyertai perhimpunan berkenaan yang dianjurkan oleh sekretariat Pembela Tanah Air (PETA) di Pagar 2 Istana Negara di Kuala Lumpur.
Sekretariat tersebut yang mewakili tiga wakil gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun untuk menyerahkan memorandum yang dipercayai mengandungi pelbagai tuntutan membabitkan isu semasa negara ketika ini.