Peras ugut peniaga, empat anggota polis diberkas
KUALA LUMPUR – Empat anggota polis diberkas kerana disyaki memeras ugut seorang peniaga yang dipercayai terlibat dalam aktiviti memproses air ketum di Taman Desa Gombak, di sini Jumaat lalu.
Difahamkan, kesemua anggota yang terlibat itu ditahan selepas peniaga berusia 35 tahun itu membuat laporan yang mendakwa tidak tahan diperas ugut oleh anggota berkenaan sejak tiga bulan lalu.
Menurut sumber, berdasarkan laporan, mangsa mendakwa didatangi empat lelaki mengaku sebagai anggota polis dari Bukit Aman dan menjalankan pemeriksaan di rumahnya kira-kira pukul 9 malam, pada 18 November lalu.
“Hasil pemeriksaan dijalankan, anggota menemui beberapa bungkusan air ketum dan meminta pengadu membayar RM10,000 sebagai bayaran untuk tidak diambil tindakan lanjut.
“Namun, pengadu merayu untuk mengurangkan bayaran itu sebelum mereka bersetuju dibayar RM5,000 oleh pengadu,” kata sumber kepada HM Online.
Sumber berkata, selepas kejadian itu anggota dikatakan meminta bayaran bulanan yang mana pengadu mendakwa sudah membayar keseluruhan RM1,500 pada Disember lalu dan Januari ini.
Kerana sudah tidak tahan diperas ugut, pengadu kemudiannya tampil membuat laporan polis pada 18 Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid ketika dihubungi mengesahkan penahanan keempat-empat anggota terbabit.
Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman selama empat hari bermula Sabtu lalu sehingga hari ini.
“Kertas siasatan kes itu akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan lanjut,” katanya lagi.