Automatif & Teknologi

Dominar 250, indah khabar dari rupa?

Jentera dua roda berkuasa tinggi yang tidak membebankan poket pengguna

Oleh : MOHD. HAZLI HASSAN

MUNGKIN bagi sesetengah peminat jentera dua roda ini, tajuk yang diberikan agak keterlaluan dan jika mengikut pengertian peribahasa kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, ia bermaksud ‘Perkhabaran tentang satu perkara yang dilebih-lebihkan daripada keadaan yang sebenarnya’.

Sebenarnya ia boleh dipandang dari sudut negatif dan positif, namun apa yang ingin saya ceritakan di sini adalah dari aspek positif.

Umum mengetahui, Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd (Modenas), pengeluar motosikal nasional diwujudkan sejak 1995 menjadi pengeluar motosikal warga marhaen sejak dahulu.

Ramai yang skeptikal dengan Modenas pada awalnya namun syarikat itu yang kini sahamnya dipegang oleh Kawasaki, Nissho Iwai, Khazanah Holdings Berhad dan DRB-Hicom Berhad tetap meneruskan agenda nasional mengeluarkan pelbagai model motosikal dengan harga mampu milik.

Tahun lepas, Modenas melancarkan motosikal jelajah dengan kapasiti enjin 250 cc, Modenas Dominar 250, yang menyasarkan mereka yang mahu menukar dari jentera moped (kapcai) kepada jentera yang lebih berkuasa tanpa membebankan poket serta boleh terus menggunakan lesen memandu kategori yang sama.

Dominar 250 merupakan jentera rebadge Bajaj di India dengan varian yang sama dan menjadi antara pilihan utama penunggang motosikal di negara berkenaan dan juga 70 negara lain.

Ia merupakan pilihan mereka yang ingin melakukan kembara jarak jauh selain digunakan sebagai jentera setiap hari untuk bergerak di dalam bandar.

Peluang yang diberikan Modenas untuk saya mencuba jentera dua roda ini dalam tempoh yang singkat digunakan dengan sabaiknya. Seperti biasa, saya agak kurang percaya dengan kemampuan jentera ini untuk melakukan perjalanan jarak jauh. Ini termasuk rekab bentuk Dominar 250 ini tidak lah saya minati sangat.

Walaupun destinasi yang dituju tidaklah sejauh mana, namun saya mula was-was dengan kemampuan Dominar 250.

Namun selepas beberapa ketika menunggang motosikal itu, saya merasakan ada sesuatu keunikan (dan kelebihan) ada pada jentera dengan kuasa sesaran 248.77 cc itu.

Dijana enjin satu silinder empat lejang DOHC dengan empat injap sistem penyejukan cecair serta suntikan bahan api (FI) dua palam pencucuh, Dominar 250 mampu memecut dari 0 hingga 100 kilometer/jam di bawah 10 saat.

Dan ya, agak mengejutkan kerana motorsikal ini mampu melakukan daya tujahan berkenaan dengan beban penunggang sekitar 120 kilogram (kg), satu yang luar biasa bagi kategori 250cc.

Walaupun kelihatan tork 23.5Nm pada rpm 6,500; yang bagi saya sedikit tinggi (antara penyebab pecutan dapat dicapai dengan pantas), tunggangan kembara dalam tempoh yang lama amat selesa serta getaran pada hendal tidak terlalu kuat. Boleh dikatakan getaran ‘acceptable’ dalam tunggangan jarak jauh.

Dominar 250 ini agak berat sekitar 180 kg namun memacu jentera dua roda ini agak mudah dan senang untuk dikendalikan. Sesuai untuk penunggang yang mahu menukar ‘selera’ dari kapcai.

Agak mengejutkan juga, walaupun berat jentera ini 180kg dengan beban penunggang 120kg, kelajuan maksimum yang berjaya saya catat adalah sehingga 130 kilometer sejam ketika masih di gear enam. Cubaan memulas habis untuk mendapatkan kelajuan lebih tidak berjaya.

Apa yang lebih menarik ialah, menunggang Dominar 250 tidak menjadikan penunggang penat atau dalam erti kata lain sakit pinggang dan punggung.

Ya, posisi tunggangan dan ergonomik tempt duduk yang agak rileks serta kusyen pelana yang lembut menjadikan tunggangan dalam tempoh yang lama amat selesa dan tidak memenatkan.

Menunggang Modenas Dominar 250 bukan sekadar perjalanan, tetapi ia memerikan satu pengalaman mengasyikkan yang menyeluruh. Dengan kuasa maksimum 19.85kW pada rpm 8,500; penunggang dapat menikmati kelajuan yang memuaskan dan mampu memecut dengan lancar.

Antara yang boleh dibanggakan, motorsikal ini turut dilengkapi dengan sistem brek ABS dua saluran ByBre (teknologi Brembo untuk motosikal berkuasa kecil) dipadankan pula dengan cakera depan 300 milimeter (mm) sementara 230mm di belakang.

Bagi yang suka bermain dengan gear tidak kiralah sama ada ketika mengambil selekoh atau memecut, Modenas Dominar 250 merupakan jentera tunggangan yang sesuai untuk anda di mana ia datang dengan klac basah pelbagai cakera yang dilengkapi dengan sistem Assist & Slipper.

Sistem ini akan memberikan kelancaran semasa gear ditukar tidak kirakah pada kelajuan tinggi atau rendah berbanding jentera yang seangkatan dengannnya.

Pada pandangan saya, perjalanan yang saya lalui dari Kuala Lumpur ke Sekinchan melalui lebuh raya, jalan Persekutuan mahu pun jalan tanah merah tidak membebankan Dominar 250 ini. Malah, ia amat mudah dikendalikan walaupun menggunakan tayar stok MRF 100/80-17 di depan dan 130/70-17 di belakang.

Ia boleh ditunggang untuk perjalanan jarak jauh dan juga tunggangan harian di bandar lebih-lebih lagi ia dibekalkan dengan lampu LED penuh auto hidup.

Secara asas, Modenas Dominar 250 boleh dikendalikan oleh sesiapa sahaja termasuk penunggang novis menjadikannya pilihan yang sesuai untuk semua tahap kemahiran.

Dominar 250 yang dilancarkan pada Mei tahun lepas didatangkan dengan tiga pilihan warna dua tona termasuk Sparkling Black, Racing Red dan juga Citrus Rush dengan harga jualan hanya RM13,797 (tanpa insurans dan cukai jalan) selain dua tahun waranti atau 20,000 kilometer (mana yang terdahulu).

Show More

Related Articles

Back to top button