Berita Semasa

Malaysia berpotensi jadi lokasi utama persinggahan kapal persiaran

KLANG – Kementerian Pengangkutan bersedia bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam usaha mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelabuhan utama untuk persinggahan kapal persiaran.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah itu dijangka dapat menarik kehadiran lebih banyak pelanconv antarabangsa ke Malaysia.

“Apabila kapal persiaran menjadikan pelabuhan kita sebagai pelabuhan mereka, maka semua penumpang perlu menaiki, mendaftar masuk dan mendaftar keluar dari sini.

“Dengan cara ini, kita boleh menarik pelancong asing datang ke Malaysia untuk menaiki pelayaran,” katanya dalam sidang media pelancaran kapal persiaran mewah, Costa Serena di Terminal Pelayaran Pelabuhan Klang (PKTC) di sini.

Mengulas lanjut, Loke berkata, langkah itu pernah dicadangkan sebelum ini namun tiada usaha bersungguh untuk menjadikan Malaysia sebagai pilihan untuk kapal pesiar.

Sehubungan itu, Loke berkata, beliau akan memperomosikan pelabuhan Malaysia sebagai tumpuan kapal persiaran mewah ketika menghadiri Persidangan Pelayaran Dunia di Florida, Amerika Syarikat pada April ini.

Laluan pelayaran mewah Eropah Costa Cruises dan pengendali pelancongan tempatan telah bekerjasama untuk menjadikan laluan pelayaran itu sebagai pelabuhan pelayaran antarabangsa pertama di Malaysia di Pelabuhan Klang.

Lokasi Malaysia yang strategik dan kepentingan sejarah menjadikannya sebuah pelabuhan yang ideal untuk pengembara domestik dan antarabangsa.

Costa Serena memulakan pelayaran sulungnya pada hari Jumaat dan menawarkan jadual perjalanan tiga hari dua malam dari Pelabuhan Klang ke Pulau Pinang.

Ini membolehkan penumpang meneroka keindahan lautan Malaysia yang pelbagai dan mengambil bahagian dalam lawatan pantai.

Pelayaran itu terdiri daripada sejumlah 1,500 kabin, 505 daripadanya mempunyai balkoni peribadi, dan 14 dek penumpang. Penumpang boleh menikmati dek panorama yang luas, teater, bar lounge, kolam renang, bilik permainan, kasino dan masakan yang lazat.

Costa Serena akan meneruskan operasi dengan pelbagai program pelayaran Asia, termasuk jadual perjalanan di Thailand, Hong Kong, Jepun, Korea Selatan dan Taiwan, berikutan pelayaran Malaysia.

Show More

Related Articles

Back to top button