Luar Negara

Berdepan tuduhan rasuah, Menteri Pengangkutan Singapura letak jawatan

SINGAPURA – Menteri Pengangkutan, S. Iswaran meletak jawatan sebagai menteri Kabinet dan ahli Parti Tindakan Rakyat (PAP), kata Perdana Menteri, Lee Hsien Loong.

Beliau berkata, Iswaran menulis surat kepadanya untuk meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet dan sebagai anggota PAP, selepas Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) memberi notis rasmi berhubung pertuduhan rasuah.

“Beliau juga memaklumkan kepada saya bahawa beliau meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen (MP) bagi Kawasan Perwakilan Kumpulan Pantai Barat,” kata Lee dalam satu kenyataan, hari ini..

Lee seterusnya berkata, Iswaran turut memaklumkan kepadanya bahawa beliau akan memulangkan semua wang yang diterima melalui gaji sebagai menteri dan elaun sebagai Ahli Parlimen sejak siasatan CPIB bermula pada Julai 2023.

“Oleh kerana Iswaran kini sudah meletak jawatan, beliau tidak lagi menerima sebarang gaji atau elaun daripada kerajaan,” kata Lee.

Lee berkata, beliau menjawab kepada Iswaran dengan menerima peletakan jawatan itu dan menerima keputusan menteri itu untuk memulangkan wang berkenaan.

Lee turut menegaskan, Kerajaan Singapura sudah menangani kes ini dengan ketat mengikut undang-undang, dan akan terus berbuat demikian.

“Saya berazam untuk menegakkan integriti parti dan kerajaan, dan reputasi kami untuk kejujuran dan tidak boleh rosak. Rakyat Singapura mengharapkan perkara itu,” kata Lee lagi.

Akhbar tempatan melaporkan Iswaran didakwa di mahkamah hari ini atas pelbagai kesalahan termasuk rasuah dan mendapatkan barang berharga sebagai penjawat awam, beberapa bulan selepas siasatan ke atasnya didedahkan kepada umum.

Dia mengaku tidak bersalah atas 27 pertuduhan iaitu dua pertuduhan rasuah di bawah Akta Pencegahan Rasuah, satu dakwaan menghalang keadilan, dan 24 pertuduhan mendapatkan barang berharga sebagai penjawat awam di bawah Kanun Keseksaan.

Show More

Related Articles

Back to top button