Berita Semasa

Ujian Sirah diubah tarikh dari 23 kepada 24 Januari – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi mata pelajaran Sirah yang dijadualkan semula pada 23 Januari diubah kepada 24 Januari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Naim Mokhtar berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira maklum balas daripada ibu bapa.

“Susulan keputusan dan kenyataan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), pihak saya telah menerima banyak aduan dan keluhan dari ibu bapa calon-calon UPKK yang bimbang akan kemampuan anak-anak mereka melalui dua ujian dalam masa satu hari pada 23 Januari.

“Sehubungan dengan itu, atas rasa keprihatinan dengan keluhan dan aduan tersebut, serta atas dasar turut memahami emosi calon-calon UPKK, saya telah mengarahkan supaya JAKIM menetapkan ujian bagi mata pelajaran Sirah dibuat pada 24 Januari 2024 (Rabu),” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu Naim, berharap dengan keputusan ini dapat meredakan keluh kesah dalam kalangan ibu bapa serta calon-calon UPKK dapat memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ujian yang sedang berlangsung bermula semalam.

Pada masa sama beliau juga mendoakan agar semua calon UPKK mendapat kejayaan yang cemerlang.

Terdahulu JAKIM menangguhkan ujian itu hari ini selepas terdapat sebuah pusat
peperiksaan UPKK telah secara tidak sengaja melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian kertas peperiksaan UPKK.

Berpandukan SOP, pihak JAKIM dengan serta merta telah membuat keputusan segera dan kenyataan media berhubung penangguhan mata pelajaran Sirah yang dijadualkan pada hari ini dan dijadualkan semula pada 23 Januari ini bersekali dengan ujian bagi mata pelajaran Lughah al-Quran.

Show More

Related Articles

Back to top button