Berita Semasa

Akademi Qurra’ kembali untuk musim kedua selepas raih sambutan menggalakkan

BANGI – Selepas meraih 4.4 juta tontonan pada musim pertama, program realiti, Akademi Qurra’ kini kembali dengan pelbagai pengisian yang lebih menarik khusus buat penonton TV AlHijrah.

Menurut Penerbit Eksekutif Akademi Qurra’, Saifulizzam Mohd Lizah, Akademi Qurra’ 2024 (AQ2024) bakal menjanjikan kualiti yang lebih baik berbanding musim terdahulu.

Katanya, antara kelainan yang bakal ditampilkan bagi musim kedua ini adalah dari sudut pemilihan peserta program itu sendiri yang kini lebih terbuka.

Jelasnya, krew penerbitan AQ2024 telah menjelajah tiga zon iaitu zon selatan (Johor), zon pantai timur (Pahang) dan zon tengah (Kuala Lumpur) bagi proses ujibakat AQ2024 yang dilaksanakan secara hibrid sepanjang Disember tahun lalu.

“Bagi musim kedua kita lebih terbuka dalam pemilihan peserta kerana seperti edisi terdahulu kita kalau juara atau peserta yang sertai tilawah dibawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mereka tidak boleh sertai tetapi kini, boleh.

“Tahun lepas kita buat (uji bakat) secara dalam talian dan pada waktu itu kita terima hampir 400 penyertaan jadi bagi musim kedua mereka minta untuk turun ke lapangan dan kita pergi jelajah ke zon-zon.

“Bila kita pergi ke zon kita dapat peserta bukan sahaja dalam kalangan ustaz atau guru agama tetapi pelbagai latar belakang seperti doktor, jurutera,” katanya dalam satu sidang media program pembuka tirai 2024 TV AlHijrah di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris serta Ketua Pegawai Operasi TV AlHijrah, Nadzariah Mohamed.

Akademi Qurra’ 2024 akan dihoskan oleh Raqib Majid bermula 20 Januari ini.

Sebagai rekod, program yang diadakan bagi mencungkil bakat anak muda dalam bidang tarannum itu bakal ditayangkan bermula 20 Januari ini iaitu pada setiap Sabtu, jam 9 malam di TV AlHijrah dan akan dihoskan oleh Raqib Majid.

Juri tetap pula adalah Qari Qayyim Nizar dan Ustazah Sharifah Khasif, manakala terdapat juri undangan pada setiap minggu.

Mengulas lanjut, Namanzee berkata, selain program AQ2024, TV AlHijrah turut bakal menyajikan pelbagai program-progam menarik dan bermanfaat sepanjang tahun ini.

“2023 menyaksikan TV AlHijrah kekal menjadi saluran Islamik nombor satu di Malaysia dengan peningkatan sebanyak 45 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
 
“TV AlHijrah berada di kedudukan 5 teratas daripada semua saluran semasa kempen #PalestinKembali diadakan lantas menjadikan prestasi TV AlHijrah pada masa ini adalah paling tinggi sejak penubuhan TV AlHijrah 13 tahun yang lalu.

“Selain itu, stesen ini melalui data AC Nielsen menjadi pilihan utama penonton sepanjang Ramadan, Syawal, Haji, Awal Muharam dan Maulidur Rasul tahun lalu.
 
“Sebagai rekod, program-program menarik lain yang telah mencatatkan capaian penonton tertinggi 2023  ialah rancangan Assalamualaikum yang berjaya mencapai 12.5 juta tontonan sepanjang tahun,” ujarnya lagi.

Sidang media program pembuka tirai 2024 TV AlHijrah.

Ujar Namanzee lagi, selain boleh dinikmati di platform televisyen dan aplikasi AlHIjrah Plus, rancangan terbaik TV AlHijrah turut boleh dinikmati pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
 
“Alhamdulilah, kini rancangan-rancangan terbaik TV AlHijrah turut boleh dinikmati para penumpang yang menggunakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) untuk perjalanan utara ke selatan tanah air dan sebaliknya.
 
“Bukan itu sahaja, untuk pastikan penumpang perkhidmatan ETS menikmati pengalaman dunia penyiaran di dalam perjalanan mereka, ETS Istimewa ini kita datangkan dengan look & feel program-program kita dari segi hiasan dalaman mahupun luaran.
 
“Saya cadangkan, ambil masa, berkelanalah bersama yang tersayang menaiki ETS TV AlHijrah. Semakin banyak tempat dijejak, semakin banyak yang dipelajari serta semakin banyak pengalaman dilalui,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button