Berita Semasa

Saluran paip bawah Sungai Perai dikesan bocor, penduduk diminta simpan air secukupnya – Kon Yeow

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengesan berlakunya satu lagi kebocoran di saluran paip bawah Sungai Perai di sini.

PBAPP dalam satu kenyataan berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 11 pagi, ini.

Menurut PBAPP, kakitangannya sedang menyiasat punca dan lokasi kebocoran untuk memeriksa sama ada ia berada di bahagian sama yang telah dibaiki pada Khamis.

“Walaupun berlaku kebocoran, PBAPP akan terus mengepam air melalui saluran paip buat masa ini.

“Pengguna pemulihan tahap 2 diminta untuk menyimpan air untuk kegunaan harian,” katanya.

PBAPP berkata, saluran paip itu mungkin ditutup untuk kerja-kerja pembaikan kecemasan.

“Keadaan ini masih dalam siasatan. PBAPP akan berkongsi hasil siasatan apabila mempunyai maklumat dan data yang tepat,” katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, selepas penilaian, kebocoran telah dikenal pasti berlaku pada beberapa bahagian baharu daripada pembaikan asal.

“Proses pembekalan air pada tekanan rendah masih lagi disalurkan sebagaimana dimaklumkan sebelum ini. Gangguan pembekalan air hanya akan melibatkan daerah Barat Daya dan tidak akan menjejaskan kawasan Seberang Perai serta kebanyakan kawasan daerah Timur Laut. Kawasan-kawasan yang telah memperoleh bekalan air tidak akan terjejas.

“Penilaian kini menyatakan bahawa paip sedia ada tidak lagi boleh dibaiki dan tindakan selanjutnya adalah untuk melencongkan paip sementara 900 milimeter (mm) diameter merentasi jambatan Ampang Jajar di bahagian atas permukaaan sungai.

“Pemulihan air untuk daerah Barat Daya akan diteruskan. Justeru, penduduk di kawasan daerah Barat Daya dinasihatkan supaya terus menyimpan air yang secukupnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button