Langkah Dubai : PDRM rakam percakapan 4 individu hari ini
KUALA LUMPUR – Empat individu telah dipanggil polis berhubung siasatan Langkah Dubai untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, empat individu berkenaan adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop; Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, Badrul Hisham Shaharin (Chegubard) dan Mohamad Salim Iskandar (pempengaruh media sosial).
Beliau berkata, kesemua telah dipanggil untuk dirakam percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah pada hari ini.
“Sejumlah 145 laporan polis diterima di seluruh negara berkaitan isu yang sama.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) cuba memberi rasuah kepada Seri Paduka Baginda Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong untuk menggulingkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Razarudin, kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Pada 30 Disember lalu, J-Kom dilaporkan mendakwa ‘Langkah Dubai’ timbul ketika percutian beberapa pemimpin pembangkang dan tokoh-tokoh daripada pihak kerajaan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kelmarin, Pejabat Ketua Pembangkang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi susulan dakwaan dan fitnah mengaitkan PN dan pemimpinnya cuba merasuah Yang di-Pertuan Agong seperti tular di media sosial.