Berita Semasa

Pusat pelacuran: Mufti tempelak cadangan Rosyam Nor

KUALA LUMPUR – Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor menempelak pandangan pelakon, Datuk Rosyam Noor yang menyifatkan wujud keperluan rumah pelacuran untuk memenuhi ‘permintaan’ dalam kalangan pekerja warga asing di negara ini.

Wan Salim berkata, pendapat pelakon tersebut untuk melihat kes-kes berkaitan seksual seperti rogol dan cabul akan dapat dikurangkan menepati Syariat Islam bahkan akan membawa lebih banyak masalah kepada negara.

“Saranan sedemikian jelas merupakan satu galakan kepada perbuatan maksiat dan kita yakin semua masyarakat Islam tahu bahawa zina adalah suatu jenayah yang boleh mengakibatkan kerosakan besar kepada individu, keluarga dan masyarakat.

“Al-Quran melarang keras perbuatan zina serta menganggapkannya suatu amalan yang keji (fahisyah) dan jalan paling buruk yang dilalui oleh manusia di dalam kehidupan ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Wan Salim, saranan pelakon dan juga usahawan yang berusia 57 tahun itu seperti menggalakkan maksiat di negara ini, walhal ada dalam kalangan warga asing itu juga beragama Islam.

Jelas beliau, mana-mana agama sekalipun tidak menyukai penganutnya terjebak dalam perbuatan hina itu.

“Sepatutnya kita sama-sama membantu ke arah kebaikan dan keluhuran budi pekerti. Kita juga sepatutnya mengingatkan pekerja asing tentang bahaya melibatkan diri dalam perlakuan seperti ini serta kesan buruknya ke atas semua pihak.

“Pekerja asing perlu dimaklumkan tentang hakikat ini dan mereka mestilah menghormati perlembagaan dan undang-undang negara yang memberi peluang kepada mereka mencari rezeki.

“Berdasarkan petikan sudah al-Isra ayat 32, hadis yang diriwayatkan Ibnu Majah, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidak tersebar zina dalam suatu kaum sehingga mereka melakukannya secara terang-terangan melainkan mereka diliputi penyakit-penyakit berjangkit yang tidak pernah wujud dalam kalangan generasi-generasi yang terdahulu,” jelas Wan Salim.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, saranan itu juga tidak memberi sebarang jaminan bahawa dengan adanya rumah pelacuran, kes rogol membabitkan warga asing boleh berkurang.

“Amat sukar untuk mengawal atau mencegah umat Islam daripada terlibat dalam kancah maksiat tersebut,” katanya.

Semalam, media tempatan melaporkan pelakon senior, Rosyam Nor secara terbuka bersetuju dengan keperluan rumah pelacuran di negara ini.

“Pusat pelacuran perlu sebenarnya sebab di negara kita ada lebih kurang tiga juta pendatang asing yang bekerja di sini.

“Mereka (warga asing) tengok anak dara dan bini kita, silap-silap dia rogol, boleh sampai ke tahap itu,” katanya dalam podcast Hitam Putih Kehidupan.

Show More

Related Articles

Back to top button