Berita Semasa

Format baharu pengisytiharan harta anggota pentadbiran, Ahli Parlimen dibincang dalam mesyuarat Kabinet

PUTRAJAYA – Satu garis panduan yang baharu telah dipersetujui untuk menggantikan Surat Pekeliling Am 1998 dengan menggariskan beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola.

Menurut Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang bersidang pada hari ini bagi memantapkan tatakelola Badan Berkanun Persekutuan (BBP).

“Beberapa pembaharuan berhubung pengukuhan tatakelola adalah dengan memperkukuh proses pelantikan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP berdasarkan kriteria yang telus serta mewajibkan proses penilaian wajar melalui semakan keutuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Memperkasa peranan Audit Dalam secara menyeluruh di peringkat BBP termasuk syarikat dan perbadanan BBP dan nemperkukuh struktur dan komposisi keahlian Lembaga Pengarah dengan mewajibkan penglibatan Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) khususnya kepada BBP yang menerima peruntukan Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT),” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan mesyuarat itu di sini.

Selain itu katanya, turut dilaksanakan ialah dengan memperkukuh pengesanan, kawal selia dan tatakelola BBP melalui platform yang dikenali sebagai Sistem Badan Berkanun (SBSys) bagi tujuan pelaporan berkala kepada Perdana Menteri.

Katanya, Badan Berkanun merupakan salah satu cabang sektor awam yang penting dan memerlukan pengurusan tatakelola yang baik.

“Sumbangan Badan Berkanun sebagai Badan Awam bukan sahaja mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara tetapi ia juga menjadi penyokong kepada pelaksanaan strategi oleh agensi pusat serta jabatan-jabatan kerajaan yang lain.

“Melalui Pantau Madani, pemantauan BBP akan dilaksanakan dengan lebih berkesan melalui pemerkasaan peranan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU, JPM), Kementerian Kewangan, Jabatan
Audit Negara serta Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU, JPM).

“Pelaksanaan garis panduan ini adalah menjadi keutamaan untuk mendukung agenda Madani melalui pemerkasaan BBP,” katanya.

Sementara itu katanya, selaras dengan prinsip ketelusan, JKKTN juga membincangkan tentang format baharu pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen untuk dikuatkuatkuasakan semula.

Ujarnya, format baharu ini akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button