KUALA LUMPUR – Kawasan Jalan Silang yang terkenal dengan jolokan ‘Mini Dhaka’ digempur sekali lagi semalam.
Serbuan terbaharu sempena Tindakan Khas Parlimen Bukit Bintang itu melibatkan 300 anggota dan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Turut menjadi tumpuan dalam serbuan kali ini adalah kawasan Masjid India dan Jalan Petaling.
DBKL berkata, tindakan khas ini membabitkan pemeriksaan 110 aktiviti premis perniagaan, penjaja, halangan kaki lima, pengendali atau pembantu warga asing, gerai tanpa lesen, halangan lalu lintas, iklan haram, papan tanda tulisan bahasa asing, kekotoran dan lain-lain kesalahan am yang berlaku.
Hasil operasi khas ini, katanya, 29 premis perniagaan diambil tindakan pindah peralatan kerana melakukan kesalahan halangan tempat awam, premis dikendalikan warga asing dan 20 penjaja tanpa lesen dikenakan tindakan sita barangan termasuk tiga penjaja bukan warganegara.
“DBKL turut mengeluarkan 25 Notis Penguatkuasaan Teknikal dan membuat tindakan serta-merta meroboh struktur sambungan di premis perniagaan yang menggantung pelbagai aksesori di lorong, laluan dan jalan awam serta menurunkan iklan dan poster haram sekitar lokasi operasi.
“Sejumlah 29 notis kompaun turut dikeluarkan kepada pemilik premis perniagaan membabitkan pelbagai kesalahan, antaranya beroperasi tanpa lesen, menggajikan warga asing, struktur sambungan, halangan tempat awam dan iklan tanpa kebenaran.
“Tindakan diambil mengikut peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil (UUK) Iklan (WPKL) 1982, UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016, UUK Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016,” katanya melalui kenyataan di Facebook.
Selain itu, DBKL turut menunda 12 kenderaan selain mengangkut sembilan motosikal dan mengeluarkan kompaun terhadap 45 kenderaan yang membuat pelbagai kesalahan halangan lalu lintas menerusi Kaedah Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Semua barangan dan peralatan disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras dan Depoh Kenderaan Ditunda Jalan Pahang untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi,” katanya lagi.