Berita Semasa

Pendaftaran PADU: Proses e-KYC ambil masa kurang lima minit – Rafizi

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menafikan dakwaan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan mengambil masa tiga hari.

Menurut Rafizi, proses itu hanya memakan masa kurang dari lima minit untuk disahkan setakat ini.

“Piawaian industri e-KYC yang diberikan oleh sistem e-KYC dalam pasaran menyebut tiga hari (seperti juga aplikasi yang ada dalam pasaran), tetapi setakat ini, e-KYC bagi pengguna yang mendaftar (untuk PADU) hanya mengambil masa kurang lima minit untuk disahkan.

“Setakat 5 petang, lebih 40,000 e-KYC telah disahkan dan pendaftaran dalam baris gilir e-KYC (untuk disahkan) ialah dalam 300. Dengan prestasi sedia ada seperti ini, insya-Allah e-KYC akan diproses oleh algoritma dalam tempoh kurang lima minit, jadi tidak timbul e-KYC akan mengambil masa tiga hari,” katanya dalam satu hantaran di X malam tadi.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming menerusi X meminta orang ramai segera mendaftar di portal PADU kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan individu lain kerana kelulusan e-KYC yang mengambil masa tiga hari.

PADU yang telah dilancarkan secara rasmi semalam, merupakan sistem yang mengandungi profil individu dan isi rumah meliputi warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa PADU dijangka mampu untuk mengelakkan ketirisan dalam pemberian bantuan dan subsidi.

Menurut beliau, dengan adanya PADU, ia akan menjamin bantuan dan subsidi dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar layak dan berhak menerimanya.

PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam dari tiga agensi utama terdiri daripada Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.

Malah, PADU dibangunkan dengan menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta.

Show More

Related Articles

Back to top button