KPKT kini dikenali Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kembali kepada nama yang digunakan sebelum ini iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
KPKT dalam satu kenyataan memaklumkan, nama baharu itu akan diwartakan secara rasmi di bawah Akta Fungsi-fungi Menteri 1969 selepas pemindaannya oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Disember lalu.
Sementara itu, kenyataan itu menegaskan bahawa penyediaan rumah mampu milik akan menjadi teras utama KPKT dengan sasaran pembinaan 500,000 unit rumah di seluruh negara khususnya untuk golongan B40 dan M40 menerusi Rancangan Malaysia Ke-12.
Hala tuju strategik melalui pelaksanaan visi dan misi KPKT pula akan terus diperkasa menerusi lapan fungsi utama iaitu Perumahan Mampu Milik, Perancangan Bandar, Pembangunan Landskap, Pemerkasaan Kerajaan Tempatan, serta Kebombaan dan Penyelamatan.
Selain itu, Pengurusan Sisa Pepejal, Pendayaupayaan Komuniti, serta Kredit Komuniti dan Pajak Gadai.
“KPKT komited bersama Kerajaan MADANI dalam merealisasikan agenda dan fokus utama iaitu bagi menerajui kemakmuran komuniti bandar serta persekitaran mampan.
“Aspek daya huni rakyat akan terus dipertingkatkan demi kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat dan seterusnya menjadi pemangkin kepada kemajuan negara,” katanya.
Nama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah digunakan sejak kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum diganti dengan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di bawah Kerajaan Perpaduan, akhir tahun lalu.