Berita Semasa

Sewa lesen kepada warga asing: Kerajaan pertimbang undang-undang ‘anti-Ali Baba’

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempertimbangkan undang-undang ‘anti-Ali Baba’ yang akan membolehkan tindakan diambil kepada rakyat Malaysia yang menyewakan lesen kepada kepada pekerja asing tanpa menepati syarat-syarat ditetapkan.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, isu menyewakan lesen perniagaan kepada warga asing adalah berpunca daripada peningkatan pekerja asing sejak berpuluh tahun lalu di negara ini.

“Isu ini isu negara, bukan isu pendatang.
Ia bermula dengan pergantungan kita kepada pekerja asing.

“Tanya majikan, majikan kata orang kita tidak mahu buat dah kerja dalam industri tertentu. Sebahagiannya soal gaji, tapi dengan gaji minimum, gajinya lebih berdaya saing berbanding dahulu,” katanya dalam satu ciapan di X semalam.

Justeru, kata beliau, antara langkah-langkah yang sedang diambil oleh pihak kerajaan termasuk melaksanakan reformasi pasaran kerja dengan gaji progresif serta memuktamadkan kebergantungan pekerja asing melalui levi pelbagai peringkat (MTL).

“Kementerian Ekonomi yang merangka Rancangan Malaysia akan memuktamadkan sasaran pengurangan pekerja asing secara berperingkat menjelang 2030.

“Semua ini perlukan keseimbangan supaya tidak ada kesan drastik kepada industri yang banyak bergantung kepada pekerja asing,” katanya lagi.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan, anggota dan pegawai polis Pasukan Gerakan Am (PGA) mengepung ‘mini Dhaka’ dalam operasi khas membanteras warga asing di Jalan Silang, di sini.

Difahamkan serbuan itu dilakukan bagi menangani kebanjiran warga asing di Jalan Silang dan perniagaan yang dimiliki serta menggajikan warga asing.

Show More

Related Articles

Back to top button