Jenayah & Mahkamah

Polis tumpaskan sindiket syabu terbesar di Sabah

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar di Sabah dalam satu operasi khas, semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan dilakukan di sekitar Kota Kinabalu, Tawau dan Semporna itu hasil kerjasama antara JSJN Bukit Aman dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Hasil serbuan tersebut, polis berjaya menahan 10 lelaki, termasuk dalang utama sindiket pengedaran dadah yang juga penaung sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berusia 40 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati sindiket ini memperoleh bekalan dadah dari negara jiran di Semenanjung sejak 2015 dan mereka menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Sabah untuk pasaran sekitar negeri itu, selain turut diseludup ke Indonesia dan Filipina.

“Semua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan (Kesalahan Jenayah Terancang) dan prosedur pula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA,” katanya dalam sidang akhbar khas di Bukit Aman, di sini hari ini.

Kata Ayob Khan, sindiket pengedaran dadah syabu yang dipercayai aktif sejak 2015 itu mempunyai jaringan pengedaran antarabangsa dan tempatan.

Tambahnya, sindiket itu dipercayai membawa dadah ke Sabah dengan menggunakan keldai dadah menerusi syarikat penerbangan komersial dan kiriman kargo laut.

“Bekalan dadah akan disimpan di Sabah sebelum diagihkan kepada pengedar-pengedar sindiket, sebelum diseludup kepada pembeli di Indonesia dan Filipina,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button