Hukuman lebih tegas perlu diambil terhadap ejen tipu pekerja asing – Azalina
KOTA TINGGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menggesa hukuman lebih tegas dikenakan terhadap syarikat atau ejen pekerja asing yang mengeksploitasi golongan itu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata, tindakan mengeksploitasi warga asing itu adalah jenayah terhadap kemanusiaan.
“Kita tidak boleh bertolak ansur dengan pencabulan hak asasi manusia termasuk dalam sektor perniagaan. Sudah tiba masanya untuk mengambil tindakan tegas terhadap perniagaan yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu ciapan di X hari ini.
Terdahulu, tular satu video ratusan PATI berjalan beramai-ramai satu kawasan di Pengerang sehingga menyebabkan kebimbangan masyarakat.
Dakwa ratusan warga asing tersebut, mereka ditipu ejen pekerjaan.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, pihaknya sudah berhubung dengan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bagi
menghulurkan bantuan kepada pekerja asing yang didakwa telah ditipu itu.
Kata beliau, perkara ini adalah sebahagian daripada masalah yang lebih besar.
“Pesalah di sebalik sindiket ini mesti bertanggungjawab dan siasatan segera mesti dijalankan ke atas siapa yang mengeluarkan permit ini tanpa pekerjaan tersedia.
“Tanggungjawab dan peranan semua syarikat yang terlibat juga harus disiasat untuk menentukan bagaimana pekerja asing yang sah boleh dieksploitasi dan terpikat dengan janji kerja di Malaysia,” katanya lagi.